ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan yang juga bekas tenaga pengajar di beberapa kolej vokasional serta Timbalan Pengarah Akademik di Kolej Vokasional Kangar menyatakan kegusaran penglibatan Anak Perlis dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Walaupun kita mempunyai Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giat Mara, Kolej Vokasional dan Politeknik, tapi penyertaan dari pelajar Perlis amat kurang.
“Jadi saya mencadangkan festival atau ekspo TVET, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan agensi-agensi yang saya sebutkan tadi supaya kita memperkasakan TVET bagi tujuan penyediaan tenaga kerja di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA),” ujarnya.
Menurutnya persediaan tenaga kerja perlu berlaku daripada sekarang.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan Perlis 2025 : Perlisku Bestari Berkat Lestari semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, pagi tadi.