Inisiatif 1 : Pelaburan Strategik yang dibentangkan dalam Belanjawan Perlis 2025 bertujuan merancakkan kemasukan pelabur ke Perlis perlu digerakkan secara agresif dan bersasar mengikut hala tuju Kerajaan Negeri.
Perkara tersebut dinyatakan oleh ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak semasa beliau membahaskan Belanjawan Perlis 2025 yang bertemakan Perlisku Bestari Berkat Lestari.
Menurutnya inisiatif “Kangar Fast Track” di Majlis Perbandaran Kangar dan “Green Lane” di Pejabat Tanah dan Galian merupakan suatu perkara yang sangat menarik kerana dapat memudah dan mempercepat urusan pelabur.
“Sebelum ini kita selalu dengar pelabur akan ada masalah bila ada birokrasi, ia akan mengambil masa,” ujarnya.
Namun begitu, katanya berharap pihak Kerajaan Negeri memastikan berlaku tapisan yang baik bagi mengelakkan berlakunya penipuan oleh pelabur hartanah pernah berlaku sebelum ini.
“Kerajaan Negeri perlu berhati-hati dengan penyangak-penyangak pelaburan hartanah yang mengambil kesempatan, sebelum ini pernah berlaku banyak kali termasuk di negeri-negeri lain.
“Kita perlu ada ‘filtering system’ atau kaedah tapisan supaya kita mendapat pelaburan atau pelabur-pelabur yang benar-benar ingin melabur, bukan sekadar ingin mendapatkan tanah kemudian buat pinjaman di bank akhirnya buat perniagaan di tempat lain,” katanya.
“Mereka ini amat merbahaya kerana kesan kepada Kerajaan Negeri ialah kita akan kehilangan tanah dan aset negeri, kerugian kewangan serta tercemarnya imej Kerajaan Negeri.