Monday, 16 June, 2025
HomeKebajikanPERLIS KOMITED TINGKAT KUALITI HIDUP WARGA EMAS

PERLIS KOMITED TINGKAT KUALITI HIDUP WARGA EMAS

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis terus menunjukkan komitmen dalam memastikan kebajikan warga emas terjaga melalui pelbagai program dan perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Wan Badariah Wan Saad, menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjaga kebajikan golongan warga emas ini.

“Sebanyak RM8.5 juta telah diperuntukkan di bawah Skim Bantuan Warga Emas (BWE) pada tahun ini, memberi manfaat kepada 1,420 warga emas yang layak.”

“Kami mahu memastikan bantuan ini benar-benar dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Menurut beliau, JKM juga menyediakan perkhidmatan penjagaan melalui Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk golongan warga emas yang dhaif.

“Kemasukan ke RSK adalah melalui Akta Orang Papa 1997 atau melalui kelulusan Ketua Pengarah JKM.”

“Di sini, warga emas bukan sahaja mendapat perlindungan, tetapi juga layanan yang selayaknya,” ujar beliau.

Bagi warga emas yang masih boleh berdikari tetapi tidak mempunyai tempat tinggal, Rumah Sejahtera turut disediakan di bawah kendalian Majlis Pusat Kebajikan Se-Malaysia (MPKSM).

“Rumah Sejahtera ini bukan sahaja tempat perlindungan, tetapi juga simbol bahawa tiada sesiapa akan dipinggirkan. Kami mahu mereka hidup dengan lebih bermaruah dan selesa.”

Dalam aspek aktiviti sosial dan kesejahteraan mental, tiga buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) telah ditubuhkan di negeri ini.

“PAWE bukan sekadar pusat aktiviti, ia adalah ruang untuk mereka berinteraksi dan terus merasa dihargai.”

“Aktiviti ini dikendalikan oleh NGO dengan geran tahunan dari JKM,” katanya lagi.

YB Wan Badariah turut menekankan peranan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri (JKWEN) sebagai platform penting dalam merancang dan membincangkan isu-isu warga emas.

“JKWEN dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.”

“Platform ini memastikan semua agensi bekerjasama secara holistik demi kesejahteraan warga emas,”

Selain itu, Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) juga memberi impak positif kepada golongan warga emas dan OKU yang memerlukan khidmat di kediaman sendiri.

“KBDR ini adalah satu usaha murni. Setakat ini, 270 warga emas telah mendapat manfaat melalui bantuan sukarelawan yang berdaftar.”

Tambah YB Wan Badariah, program tahunan seperti Sambutan Hari Warga Emas dan Seminar Citra Minda Intergenerasi turut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada golongan tersebut.

“Kami mahu mereka tahu bahawa jasa mereka tidak pernah dilupakan. Sambutan ini bukan sekadar acara, tetapi platform untuk pendampingan sosial yang berterusan.”

“Warga emas adalah amanah kita bersama. Dengan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan, kami harap mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, bermaruah, dan dihargai.”

Dengan pelbagai inisiatif ini, JKM Perlis terus memperkukuh usaha memastikan golongan warga emas menikmati kesejahteraan yang sewajarnya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments