Kerajaan negeri Perlis komited memastikan pembangunan sektor pelancongan tidak mengabaikan aspek kebersihan dan kelestarian alam sekitar, terutama dengan peningkatan jumlah pelancong bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Dalam sesi perbahasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, YB Haziq Asyraf, menyuarakan kebimbangan mengenai isu sampah dan cadangan pembangunan yang boleh menjejaskan ekosistem.
“Di sini, pentingnya kita perkasakan CBT (Community-Based Tourism) supaya komuniti boleh mengawal dan mengurus pusat pelancongan ini dengan baik,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan khabar angin mengenai cadangan pembinaan jalan baharu di kawasan viewpoint.
“Untuk makluman, ada bunyi-bunyi nak buat jalan di bawah, tak lalu dah kawasan bukit untuk ke viewpoint.”
“Kalau pembangunan sebegini berlaku, ia boleh merosakkan hutan, mengancam habitat dan ekosistem kita. Saya minta YB ambil perhatian, kalau tidak, saya akan lawan,” tegas YB Haziq Asyraf.
Menjawab kebimbangan tersebut, YB Tuan Abu Bakar, selaku EXCO yang memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Luar Bandar, menegaskan bahawa kebersihan, keselamatan dan kelestarian kawasan pelancongan menjadi keutamaan dalam perancangan pembangunan.
“Kita sedar Perlis bakal menjadi destinasi wajib dikunjungi, terutamanya apabila menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.”
“Oleh itu, kita akan pastikan kebersihan dan kemudahan seperti surau, bilik air serta perkhidmatan komuniti dijaga dengan baik,” ujar beliau.
YB Tuan Abu Bakar turut mengakui pentingnya komuniti setempat diberi latihan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan pelancongan terkawal.
“Kita perlu latih komuniti untuk mengawal dan memastikan pelancong menggunakan perkhidmatan mereka.”
“Mereka harus memainkan peranan penting memastikan setiap pelancong dapat menikmati panorama indah yang sedia ada.”
Mengulas isu pembangunan di kawasan hutan, YB Tuan Abu Bakar menegaskan kerajaan akan membuat kajian yang mendalam sebelum sebarang projek diluluskan.
“Sekiranya ada cadangan pembangunan yang boleh merosakkan hutan, kita akan kaji dengan mendalam.”
“Kita tidak mahu pembangunan ini boleh mencacatkan keindahan kawasan seperti Wang Kelian dan kawasan lain di Perlis.”
Beliau menegaskan bahawa sebarang pembangunan haruslah selari dengan konsep “cantik, menarik dan selamat” tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar.
Dengan komitmen tersebut, kerajaan negeri berharap sektor pelancongan Perlis dapat berkembang pesat tanpa mengorbankan kebersihan dan keindahan alam semula jadi yang menjadi daya tarik utama negeri tersebut.