Perlis mencatatkan kehadiran seramai 2.6 juta pelancong sehingga Oktober lalu, berdasarkan data daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis. Kajian Kadar Purata Penginapan Berbayar Tourism Malaysia bagi Januari hingga Jun mendapati seramai 161,374 penginap direkodkan, melibatkan 156,202 penginap domestik dan 5,172 penginap antarabangsa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abu Bakar Hamzah, antara lokasi tumpuan utama ialah View Point Wang Kelian, Arked Niaga Padang Besar, Pulau Ketam Kuala Perlis, Kampung Warna Warni Seberang Ramai, Tasik Timah Tasoh dan Santuari Ikan Air Tawar.
“Pelancaran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 menyumbang kepada peningkatan hasil secara langsung dan tidak langsung, termasuk kepada komuniti dan agensi negeri melalui jualan tiket lokasi pelancongan,” katanya semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, hari ini.
Berdasarkan data eko-pelancongan sehingga Oktober, sebanyak 523,171 pengunjung direkodkan dengan jumlah kutipan hasil RM1.038 juta. Lokasi pelancongan di bawah Jabatan Pertanian Negeri turut mencatat kutipan RM48,077, manakala Taman Agrovet yang dikendalikan Jabatan Veterinar merekodkan 58,658 pengunjung dengan kutipan RM105,920.
“Peningkatan jumlah pelancong dan kutipan hasil ini membuktikan keberkesanan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan tempatan.”