Projek pembinaan rumah pembakaran mayat (krematorium) bukan Islam di Negeri Perlis kini melangkah ke tahap seterusnya setelah fasa pertama berjaya diselesaikan pada November 2024.
Projek yang bernilai RM3.5 juta ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat Cina, India, dan Siam di negeri ini.
Menurut EXCO Kerajaan Tempatan, YB Asrul Imran, “Kerajaan negeri telah berusaha keras untuk menyediakan infrastruktur yang lebih moden dan mesra komuniti.”
“Fasa pertama yang melibatkan kerja-kerja awal seperti penambakan tanah dan pelebaran jalan kini telah selesai.”
“Bagi fasa kedua, peruntukan sebanyak RM2 juta telah diluluskan, dan kerja-kerja pembinaan bangunan akan dimulakan pada Januari 2025.”
“Kami menyasarkan untuk menyiapkan keseluruhan projek ini menjelang November 2025.”
Asrul Aimran dalam pada itu turut menekankan bahawa projek ini bukan sahaja penting dalam meningkatkan infrastruktur negeri, tetapi juga untuk memenuhi keperluan masyarakat pelbagai kaum di Perlis.
“Penyediaan kemudahan ini akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini, yang selama ini memerlukan kemudahan pembakaran mayat yang lebih modern dan selesa,” jelasnya.
“Insha-Allah, kami akan pastikan projek ini berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.