Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan cadangan pelaburan swasta berjumlah 2.0 billion ringgit meliputi pelbagai sektor strategik yang dijangka akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan perkara tersebut dalam pembentangan Belanjawan Perlis 2025 pagi tadi yang bertemakan “Perlisku Bestari Berkat Lestari”.
Menurutnya antara pelaburan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri ialah Syarikat Gaya Analisa Sdn. Bhd. bagi sektor tenaga dengan nilai pelaburan sebanyak 688 juta ringgit; Equinox Solar Farm Sdn. Bhd. bagi sektor tenaga dengan nilai pelaburan sebanyak 350 juta ringgit; dan Syarikat MRCB bagi sektor tenaga dengan nilai pelaburan sebanyak 308 juta ringgit.
Sementara itu, pelaburan bagi sektor perkhidmatan melibatkan pengurangan Non-Revenue Water dengan nilai pelaburan sebanyak 250 juta ringgit melibatkan Syarikat Sisma Inya Water (P) Sdn. Bhd.
Baki nilai pelaburan 404 juta ringgit pula dari pelbagai syarikat swasta lain.
“Kerajaan Negeri Perlis juga komited untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan negeri-negeri SG4, iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu, sebagai rakan sinergi utama dalam memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Negeri Perlis berhasrat menarik lebih banyak pelaburan luar negara, sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memastikan kemakmuran negeri yang inklusif serta lestari,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat berusaha menubuhkan agensi pelaburan di Perlis.
Majlis Mesyuarat Kerajaan juga menurutnya telah memuktamadkan struktur Delivery Management Office (DMO) bagi CVIA untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pelaburan pada 4 Disember 2024.
“Kerajaan Negeri optimis lebih banyak peluang pelaburan baharu dapat dibawa masuk, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan mampan untuk Negeri Perlis,” tambah beliau.