Sunday, 20 July, 2025
HomeBelanjawan 2025 : PBBLINISIATIF PERLISKU BESTARI ANJUNG MADINAH

INISIATIF PERLISKU BESTARI ANJUNG MADINAH

Belanjawan Perlis 2025 memberikan fokus kepada tiga tekad utama bagi merealisasikan tema Perlisku Bestari Berkat Lestari.

Tekad 1 : Anjakan Ekonomi Bestari : Transformasi Menuju Kelestarian;
Tekad 2 : Keseimbangan Sosioekonomi Tonggak Keberkatan; dan
Tekad 3 : Lonjakan Perubahan : Meluhur Bestari, Meraih Berkat, Melakar Kelestarian.

Inisiatif ke-11 yang diletakkan dalam tekad ke-3 iaitu Perlisku Bestari Anjung Madinah merupakan inisiatif progresif berasaskan model Madinah al-Munawwarah, menekankan keadilan dan inklusiviti sosial.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pagi tadi memaklumkan inisiatif tersebut bertujuan memberi penekanan kepada prinsip Islam yang menyeluruh dalam tadbir urus.

“Perlis berhasrat memupuk perpaduan kaum dan agama, berlandaskan semangat persaudaraan dan toleransi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan melancarkan projek rintis bagi menjalinkan hubungan yang lebih dekat dengan bandaraya Madinah.

“Antara inisiatif strategik ialah mewujudkan Program Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Perlis-Madinah, yang menghubungkan institusi pendidikan, pusat kebudayaan, dan komuniti antara kedua-dua tempat.

Menurutnya program ini merangkumi kerjasama universiti untuk penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta latihan kepimpinan Islam bagi memperkayakan pengetahuan dan kefahaman antara dua komuniti disamping menyemarakkan nilai-nilai Islam yang inklusif, sambil membina rangkaian antarabangsa yang kukuh.

Pembinaan/ Naik Taraf Masjid

Dibawah inisiatif ini, sebanyak RM4.75 juta diperuntukkan untuk menaik taraf enam buah masjid iaitu Masjid Padang Besar Lama; Masjid Al A’la, Behor Temak; Masjid Al Mustaqim, Seriab; Masjid Jamek Kg. Binjal, Utan Aji; Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri; dan Masjid Ar Ridha, Panggas.

Kempen Kerohanian dan Pembangunan Modal Insan

Kerajaan Negeri turut berusaha memperkukuh amalan keagamaan antaranya melalui program yang sedang berlangsung iaitu Kempen Jom Solat, Jaulah Subuh serta program yang bakal diadakan iaitu Program Bulan Solat, Al-Quran, Ihya Ramadan dan Infaq.

“Pendekatan ini bukan sahaja menghidupkan masjid tetapi juga memupuk rasa kebersamaan dan membangun kesedaran sosial yang lebih luas di kalangan rakyat Perlis.

“Kerajaan negeri yang komited dengan agenda pembangunan modal insan secara tersusun akan melancarkan Kem Anakku Bestari dan Kem Remaja Bestari peringkat negeri Perlis,” tambahnya.

Selain kempen dan program ini, Program Inspirasi Rohani, Halaqah Ilmiah dan Bicara Dhuha akan terus dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan serta penghayatan penjawat awam dan masyarakat umum terhadap nilai-nilai murni.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments