Belanjawan Perlis 2025 menyaksikan kejituan fokus Kerajaan Negeri dalam menarik minat pelabur hadir membugar ekonomi Perlis.
Dalam Inisiatif 1 (Pelaburan Strategik) menerusi Tekad 1, iaitu Anjakan Ekonomi Bestari : Transformasi Menuju Kelestarian, Kerajaan Negeri merancang beberapa inisiatif strategik yang bakal dilaksana pada 2025.
Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis berkata pihaknya akan melaksanakan langkah pelarasan harga tanah di CVIA bagi menarik minat pelabur.
“Penetapan kadar harga jualan tanah di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) akan dilaksanakan, termasuk pengenalan elemen diskaun bagi menarik minat pelabur,” ujarnya.
Langkah kedua ialah memperkenal pemasaran insentif pelaburan yang dapat mengurangkan kos permulaan pelaburan bagi syarikat-syarikat yang berminat.
“Promosi insentif pelaburan daripada Kerajaan Persekutuan akan dipergiatkan, termasuk pengecualian cukai pendapatan, pengecualian duti setem bagi urus niaga jual beli tanah, serta pengecualian duti import ke atas peralatan dan mesin.
Selain itu, pelabur akan diberikan kemudahan melalui inisiatif seperti Kangar Fast Track di Majlis Perbandaran Kangar dan Green Lane di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis untuk mempercepatkan proses kelulusan dan urusan pelaburan.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan mengambil bahagian secara aktif dalam misi perdagangan, pameran perdagangan antarabangsa, dan persidangan global bagi mempromosikan Negeri Perlis sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Dalam pada itu, beliau turut memperkenalkan inisiatif 1 ADUN, 1 kilang bagi meletakkan tanggungjawab kepada setiap ADUN untuk menarik sekurang-kurangnya satu kilang atau pelabur sektor pembuatan ke negeri Perlis.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, pagi tadi