Belanjawan Perlis 2025 yang bertemakan “Perlisku Bestari Berkat Lestari” memperuntukkan sejumlah RM303.28 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Perkata tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 196.11 juta ringgit atau 64.66 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus, manakala 107.17 juta ringgit atau 35.34 peratus pula diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan.
“Daripada jumlah yang diperuntukkan, sebanyak 67.29 juta disediakan untuk bayaran emolumen, 83.47 juta disediakan bagi menampung perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan, 38.9 juta ringgit disediakan di bawah pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 5.05 juta ringgit disediakan untuk tujuan aset dan perbelanjaan – perbelanjaan lain 1.40 juta ringgit.
“Secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus tahun 2025 meningkat sebanyak 11.47 juta ringgit atau 6.21 peratus berbanding tahun 2024,” tambah beliau.
Manakala bagi perbelanjaan pembangunan yang berjumlah 107.17 juta, sebanyak 51.69 peratus dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi tujuan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat.
“Peruntukan pembangunan akan diagihkan kepada enam agensi pelaksana yang utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (RM66.97 juta), Jabatan Kerja Raya (RM20.71 juta), Jabatan Perhutanan (RM7.65 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM6.8 juta), Jabatan Pertanian (RM3.92 juta) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM1.12 juta).
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan berjumlah RM122.93 juta pada 2025 meliputi Hasil Cukai berjumlah (RM23.60 juta), Hasil Bukan Cukai (RM28.93 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM70.40 juta)
“Berdasarkan anggaran ini, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak 9.7 juta ringgit atau 8.6 peratus berbanding tahun 2024.
“Dengan anggaran ini, Kerajaan Negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak 73.18 juta ringgit pada tahun 2025, peningkatan sebanyak 1.78 juta ringgit atau 2.49 peratus berbanding 71.40 juta ringgit pada tahun 2024,” ujarnya.