Sunday, 20 July, 2025
HomeSukanINSENTIF RM413,300 BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI BANGUNKAN SEKTOR SUKAN

INSENTIF RM413,300 BUKTI KOMITMEN KERAJAAN NEGERI BANGUNKAN SEKTOR SUKAN

Menteri Besar Perlis menzahirkan rasa bangga atas kejayaan atlet Negeri yang berjaya mengharumkan nama Perlis dalam pelbagai sukan tahun ini, termasuk SUKMA Sarawak 2024, Para SUKMA 2024, dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan yang diadakan di Dewan 2020, Kangar, menyaksikan sejumlah penghargaan telah diberikan kepada atlet, jurulatih, dan barisan pengurus pasukan yang berjaya melakar sejarah baharu buat negeri ini.

“Saya amat kagum dan bangga dengan Squad SIMBA Perlis, yang berjaya meraih 12 pingat emas, 15 pingat perak, dan 16 gangsa dengan jumlah keseluruhan 43 pingat.”

“Pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam sejarah SUKMA di Perlis,” ujar Menteri Besar Perlis.

Beliau turut memuji kejayaan luar biasa pasukan angkat berat Perlis yang dinobatkan sebagai pasukan terbaik dengan 4 emas, 2 perak dan 2 gangsa.

Atlet angkat berat, Muhammad Hafizuddin Roslin pula mendapat perhatian apabila berjaya memecah tiga rekod kebangsaan bagi sukan angkat berat.

“Tahniah Badang Perlis! Ini satu kejayaan yang amat membanggakan buat negeri ini,” tambahnya.

Bagi Temasya Para SUKMA 2024, kontinjen Perlis yang dihantar seramai 62 atlet berjaya membawa pulang 6 emas, 13 perak dan 6 gangsa.

“Umi Syuhadah binti Idris dan Noor Imanina binti Idris telah membuktikan kudrat luar biasa mereka dengan mencipta rekod baharu melalui acara lontar peluru. Anda semua adalah wira Perlis.”

Dalam majlis tersebut, beliau mengumumkan Insentif kemenangan setimpal diberikan kepada atlet SUKMA dan Para SUKMA tanpa deskriminasi.

“Bagi atlet individu yang memenangi pingat emas, ganjaran RM5,000.00 akan diberikan.”

“Keseluruhan insentif bagi SUKMA dan Para SUKMA kali ini berjumlah RM413,300.00, lebih tinggi berbanding edisi sebelumnya,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada atlet Paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly, yang berjaya meraih pingat perak di Paris dalam acara lompat jauh T20.

“Kejayaan beliau membawa pulang pingat dalam tiga edisi Paralimpik berturut-turut adalah satu pencapaian unik buat negara ini. Walaupun kali ini pingat perak, beliau masih pemegang rekod dunia dalam acara ini.”

“Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri memberikan insentif berjumlah RM80,000.00 kepada beliau,”

Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap sikap positif atlet Perlis sepanjang temasya.

Menteri Besar menutup ucapannya dengan mengingatkan semua pihak bahawa kejayaan hakiki datang daripada usaha, doa, dan solat.

“Sebagai seorang mukmin, ingatlah bahawa solat membawa kita menuju kejayaan.”

“Kejayaan atlet Perlis ini diiringi usaha, disiplin, dan doa yang tidak putus-putus,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan harapan agar sukan di Perlis terus berkembang maju.

Majlis turut dihadiri oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri, jurulatih, pengurus pasukan, serta ahli persatuan sukan negeri Perlis.

 

 

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments