Negeri Perlis akan memperkenalkan penjenamaan baharu bagi sukan negeri dengan memberi penekanan kepada falsafah pembudayaan sukan yang berakar umbi dalam identiti anak jati Perlis.
“Sukan Perlis akan diberi penjenamaan baharu dengan identiti tersendiri melalui falsafah pembudayaan sukan cara orang Perlis.”
“Setiap penyertaan dalam semua sukan mestilah melibatkan anak jati Negeri Perlis, supaya peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri ini,” ujar YB Ridzuan semasa Majlis Penyerahan Insentif Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dan Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar.
Beliau turut menekankan bahawa pelan pembangunan sukan ini berpaksikan empat teras utama iaitu pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat Perlis dan pembangunan sukan secara berfokus dengan aplikasi sains sukan.,
Selain itu, pelru diberi penekanan kepada pendidikan dan kebajikan atlet, serta pengukuhan kerjasama antara pemegang taruh sukan dan pemasaran sukan.
“Tumpuan khusus akan diberikan kepada tahap kepakaran jurulatih, kebajikan atlet, keselesaan pusat latihan, serta penganjuran kejohanan.”
“Semua ini adalah untuk memastikan kejayaan pelan ini dicapai dengan jayanya,” tambahnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan kepada Majlis Sukan Negeri Perlis dalam mempersiapkan atlet dalam menghadapi kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Malaysia.
“Kerajaan negeri menjadikan majlis ini sebagai tradisi pengiktirafan kepada ahli-ahli sukan yang telah mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”
“Ini adalah bukti bahawa kejayaan mereka dihargai, dan ia juga merupakan galakan untuk terus cemerlang,” jelasnya lagi.
Beliau yakin usaha ini mampu memacu kecemerlangan rakyat Perlis dalam aspek fizikal, mental, dan spiritual melalui sukan.