Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dijadualkan siap dan mula beroperasi seawal Julai tahun hadapan dan dijangka bakal memperkukuh hubungan logistik rantau Asia termasuk Eropah.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata laluan rel dari Turkiye yang merentasi Kaukasus dan Asia Tengah di bawah jajaran Trans Caucasus dan Central Asia hinggalah ke Xian, China dan disambung laluan rel Pan Asia Rail Network dari Kunming hinggalah ke Padang Besar.
“Dengan siapnya Perlis Inland Port (PIP) pada tahun hadapan dan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) yang sudah siap Fasa 1, Kerajaan Negeri Perlis bersedia untuk memainkan
peranan yang lebih besar sebagai tuan rumah kepada kargo Sumatera yang akan dieksport ke Bangkok, Vientiane dan Kunming melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Perlis Inland
Port (PIP) dengan kombinasi mode laut dan rel.
“Kargo dari China dapat pula turun semula ke Perlis dan diagihkan kepada wilayah-wilayah serantau khususnya Sumatera dan Semenanjung Malaysia dengan lebih cepat dan dengan harga yang lebih kompetitif,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Perlis Inland Port (PIP) & Penang Port Dan Majlis Penyerahan Memorandum Kolaborasi (MOC) Antara Mutiara Perlis & Asosiasi Depo Kontainer Indonesia yang diadakan di Pusat Perniagaan Bersepadu, CVIA, Padang Besar pada 28 November lalu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan inisiatif kerjasama di antara Perlis Inland Port, Pelabuhan Pulau Pinang & Asosiasi Depo Kontainer Indonesia ini dapat menghidupkan kerjasama ekonomi antara wilayah yang telah sekian lama diusahakan melalui IMT-GT.
“Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan rantau ini apabila mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan dan meningkatkan lagi perdagangan serantau, dan perdagangan ASEAN dengan China.
“Jajaran rel kereta api di Perlis amat strategik kerana bersambung terus dengan sistem rel Bangkok-Vientiane dan Wilayah Yunnan di China serta wilayah-wilayah lain di Barat China,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Perlis akan mengadakan kerjasama secara rasmi dengan Kerajaan Yunnan, China pada tahun hadapan.
“Insya-Allah usaha ini boleh menjadikan hubungan antarabangsa yang lebih erat dan tidak mustahil bandar di Perlis dan Kunming boleh menjadi Bandar Berkembar satu masa nanti,” katanya.