Sunday, 16 March, 2025
HomePendidikanANAK TERENGGANU PENERIMA ANUGERAH CANSELOR KUIPs

ANAK TERENGGANU PENERIMA ANUGERAH CANSELOR KUIPs

Marsya Nasrin Mohd, anak kelahiran Negeri Terengganu menerima Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) 2024 sempena Konvokesyen ke-7 Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor KUIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Faizuddin Jamalullail.

Marsya, graduan Fakulti Pengajian Islam (FPI) yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 setiap semester, menerima tajaan Latihan Daurah Umrah dari KUIPs, wang tunai RM1,250 daripada Yayasan AlKhairi, dan RM1,500 daripada Agrobank sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya.

Marsya, yang merupakan bekas pelajar Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) menyifatkan pencapaiannya ini sebagai hadiah buat kedua ibu bapanya.

“Hadir untuk mendaftar di universiti ini tanpa ditemani ibu dan bapa kerana ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 sesungguhnya menyedihkan, tetapi Marsya hadiahkan pengorbanan ibu dan bapa yang tidak dapat hadir dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Anugerah Canselor ini kepada kedua-dua ibu bapa dan abang ipar yang menghantar saya semasa pendaftaran,” katanya ketika ditemui.

Anak kedua daripada dua beradik ini turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas tajaan penuh yang membantunya menamatkan pengajian.

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada para pensyarah dan rakan-rakan sepengajian atas sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.

“Persekitaran ilmu dan tarbiah di universiti ini yang menekankan thaqafah agama dan tarbiah amat bermakna. Slogan ‘Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan’ benar-benar tersemat dalam jiwa kami,” ujar Marsya, menutup bicara dengan rasa rendah hati.

Marsya kini menjadi inspirasi kepada pelajar lain, membuktikan bahawa usaha dan dedikasi mampu mengangkat martabat diri serta membanggakan keluarga dan masyarakat.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments