Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta kolaborasi strategik bersama IMAKE Innovation dari Thailand, telah berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Kelab Junior AI & Robotic Educational Club (Junior AiREd) dan Penutupan Program Transformasi Intelek Pelajar Perlis (TRIPs) SPM 2024.
Acara berprestij ini berlangsung pada Selasa, 19 November 2024, bertempat di Hotel Seri Malaysia, Kangar, disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis ini diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam titah baginda, DYTM Raja Muda Perlis menzahirkan harapan agar program seperti ini mampu memperkasakan pendidikan STEM dan melahirkan generasi muda yang cekap dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik untuk bersaing di peringkat global.
Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi FCoEE, yang menekankan aspirasi Kelab Junior AiREd sebagai platform bagi memupuk minat pelajar terhadap AI dan robotik.Â
Bengkel Junior AiREd telah melibatkan penyertaan 20 orang guru sekolah rendah sebagai fasilitator utama, dan dibantu oleh 10 pelajar UniMAP yang bertindak sebagai mentor.
Bengkel ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran penceramah jemputan khas dari IMAKE Innovation, Thailand, yang berkongsi kepakaran dalam bidang AI dan robotik, sekaligus membuka minda para peserta tentang potensi besar inovasi teknologi.
Inisiatif ini mencerminkan usaha gigih pelbagai pihak dalam memperkasa pendidikan STEM di Perlis, menjadikan negeri ini sebagai contoh kecemerlangan dalam pendidikan inovasi.