Kerajaan Persekutuan diharap dapat melihat situasi sebenar keperluan pembangunan Negeri Perlis bagi merancang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis berkata pihaknya mengharapkan pertimbangan dan kelulusan kepada permohonan projek berimpak tinggi yang menyokong keperluan dan pembangunan semasa Perlis dalam sektor logistik, perkhidmatan, pelaburan, pertanian dan pelancongan.
“Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan akan terus memberi perhatian kepada Negeri Perlis dalam usaha membangunkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sememangnya kepentingan rakyat dan pembangunan negeri merupakan keutamaan saya dalam setiap perancangan,” kata beliau dalam ucapannya semasa Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13Â (SLU RMK13) di Dewan 2020, Kangar baru-baru ini.
Tambah beliau, bagi sektor pertanian bajet perlu diutamakan bagi menaik taraf sistem pengairan tanaman padi di kawasan MADA dan luar MADA kerana Perlis menyumbang 10.38% pengeluaran beras Malaysia dan secara tidak langsung ianya menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara.
Selain itu, bagi sektor pelancongan pula Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan sebuah pusat penjualan barang-barang ikonik tempatan seperti Pasar Payang di Terengganu, Pasar Siti Khadijah di Kelantan dan Pekan Rabu di Kedah.
“Pembinaan kompleks jualan ini akan menjadikan tarikan baharu bagi Negeri Perlis dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” ujarnya.
“Saya harap semua hadirin yang bersama-sama saya pada hari ini menjadi wakil negeri dapat menyuarakan pandangan dan memberi input terbaik kepada pihak Kementerian Ekonomi supaya mereka memahami keadaan dan keperluan sebenar Negeri Perlis,” ujarnya.
Delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai menterinya, Rafizi Ramli bertandang ke Perlis sempena program SLU RMK13 sebagai pendekatan pihaknya mendapatkan maklumbalas daripada pihak kerajaan negeri dan pemain industri dalam usaha merangka RMK13 kelak.