Polis Perlis berjaya merampas RM42,619 wang judi hasil tangkapan perjudian sepanjang tahun 2023 hingga Ogos 2024.
Daripada jumlah tersebut, RM27,378 ialah rampasan sepanjang 2023 manakala RM15,241 lagi ialah rampasan bagi 2024 sehingga bulan Ogos.
Serbuan dibuat hasil keputusan Kerajaan Negeri Perlis menutup semua premis judi di seluruh negeri bermula awal tahun lalu.
Sejumlah 257 loteri awam berjaya diserbu sepanjang tempoh tersebut manakala 83 lagi serbuan melibatkan judi online menjadikan jumlah tangkapan kes perjudian berjumlah 340 kes.
Menurut EXCO Hal-Ehwal Agama Islam Negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Dato’ Muhammad bin Abdul Halim, Ketua Polis Perlis dalam satu taklimat kepadanya baru-baru ini.
“Kita ucapkan tahniah dan syabas kepada pihak berkuasa kerana berusaha keras membenteras judi haram yang tidak mampu kita lihat secara umum ini,” ujarnya.
“Pihak Kerajaan Negeri telah berusaha untuk memastikan judi ini dapat dihapuskan dari bumi Perlis kerana seperti yang kita tahu ia membawa mudarat kepada masyarakat umum berbanding keuntungan kecil kepada sebahagian pihak,” tambahnya.
Dalam pada itu, agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bergerak bagi memotong bekalan elektrik kepada 17 premis yang terlibat dengan judi online.
Manakala 8 laman web perjudian telah disekat oleh pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti tersebut dari terus berleluasa.