Bermula Januari 2025, pihak kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan mengenakan fi sebanyak RM1.00 bagi setiap helai beg plastik sekali guna yang dibekalkan kepada pelanggan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil memaklumkan pelaksanaan Program Hari Tanpa Plastik Negeri Perlis akan memasuki fasa 4 menjelang 2025.
“Pada fasa tiga yang telah dilancarkan pada April 2024, premis-premis perniagaan mengenakan bayaran sebanyak RM0.50 bagi setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pelanggan pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad,” katanya.
Tambah beliau, program tersebut akan memasuki fasa kelima pada tahun 2026 akan menyaksikan kenaikan fi kepada RM2.00 bagi setiap helai beg plastik pada setiap hari sebelum pelaksanaan fasa enam iaitu larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna.
“Insya-Allah kita akan bergerak ke arah larangan sepenuhnya selepas 2026,” ujarnya.
Selain itu tambahnya, hasil kutipan fi daripada penggunaan beg plastik ini akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah yang diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
“Jumlah dana yang terkumpul di dalam Akaun Amanah akan digunakan untuk tujuan kempen-kempen kesedaran dan program-program yang berkaitan dengan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar yang bersesuaian,” tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh negara seawal 2026.
“Setakat ini dua negeri dan satu daerah iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu telah melaksanakan dasar tiada beg plastik sekali guna,” ujarnya.