Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menjadi antara 18 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima penarafan Bandar Pintar Malaysia – Smart City Early Adopter 2024 pada 28 Oktober lalu di Hotel Everly, Putrajaya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya semasa Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024 Peringkat Negeri Perlis di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, di sini, pagi tadi.
Menurutnya, walaupun Perlis merupakan sebuah negeri kecil, namun kerajaan negeri perlu merancang dan bersedia menerima perubahan ke arah ‘smart city’ yang mengaplikasikan pelbagai teknologi dan maklumat elektronik dalam mengurus dan melaksana pembangunan perbandaran.
“Negeri Perlis telah menyediakan Blueprint Perlis Bandar Pintar 2030 yang merupakan satu rangka pembangunan yang komprehensif merangkumi perancangan fizikal, spatial dan perancangan teknologi,” ujarnya.
Tambahnya, perkembangan teknologi dapat merancakkan pembangunan terutamanya sektor pelancongan melalui ciri-ciri seperti penyelesaian pembayaran pintar dengan memberi galakan pelancong melanjutkan tempoh masa penginapan, berbelanja lebih dan akhirnya dapat meningkatkan ekonomi setempat.
“Kita terpaksa akur bahawa potensi sebenar bandar masa depan terletak pada keupayaan mentafsir semula kehidupan bandar melalui gabungan dinamik teknologi, dasar dan inovasi.
“Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan PLANMalaysia Perlis atas penyediaan dokumen Blueprint Perlis Bandar Pintar 2030.