Kemeriahan Pasar malam yang bertempat di pasar besar lama, Kangar berhampiran stesen bas Kangar kembali dirasai apabila ia dibuka semula oleh pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) semalam.
Kali terakhir pasar malam dianjurkan di tapak tersebut ialah pada 1998 sebelum ia dipindahkan ke perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra sebelum operasinya diberhentikan.
Sebanyak 114 tapak dibuka dengan kehadiran 66 peniaga benar-benar menarik minat pengunjung yang hadir berpusu-pusu bagi mendapatkan keperluan harian mereka semalam.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata kemeriahan pasar malam ini diharap dapat membantu rakyat kembali meningkatkan ekonomi disamping memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan harian dengan mudah.
“Bagi mereka yang lahir sekitar tahun 80-an, pasar malam di Market Lama, Kangar memang meriah dan 2024 kemeriahan tersebut kita kembalikan semula,” ujar beliau.
“Pasar malam ini kita buka semula setiap hari Rabu dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.
Dalam pada itu, beliau berkata pasar malam ini juga akan menjadi pasar malam contoh dalam pelaksanaan kempen ‘Berhenti Dulu, Kita Solat’ yang diputuskan pihak Kerajaan Negeri dalam usaha mendidik masyarakat memberi keutamaan kepada ibadah solat dalam kehidupan.
“Ini akan jadi pasar malam model apabila masuk sahaja waktu Maghrib, para peniaga dan pembeli akan berhenti dahulu untuk sembahyang di ruang solat yang begitu baik kita disediakan.