Tugas mendidik anak-anak pelajar kebiasaannya diletakkan di pundak para guru sekolah yang mengajar mata pelajaran disamping ibu bapa yang menyediakan keperluan mereka.
Namun begitu, menurut YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata semua lapisan masyarakat perlu bekerjasama bagi memastikan anak-anak pelajar dapat meraih kejayaan dalam pendidikan dan kepimpinan.
“Semua lapisan masyarakat juga memainkan peranan masing-masing supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak kita, bagi melahirkan tonggak negara dan bakal pemimpin negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penyerahan Akhbar Sin Chew Daily Kepada 10 Buah SJKC Di Perlis, baru-baru ini di Tokong Poh Aun Kong.
Beliau berkata kempen membaca surat khabar di sekolah yang dianjurkan oleh Sin Chew Daily ini adalah satu kempen yang penting dalam memupuk tabiat membaca dan sikap peduli terhadap isu semasa dalam kalangan pelajar.
Katanya lagi, sistem pendidikan yang diaplikasi kepada anak-anak pelajar perlu bersifat membentuk mereka bersedia mendepani perubahan dan pembaharuan mengikut peredaran zaman.
“Pelajar masa kini bukan saja belajar berkenaan silibus yang ada dalam buku-buku teks, malahan amat penting bagi para pelajar berusaha menerokai ilmu dari pelbagai bidang bagi kesiapsiagaan bagi menghadapi era abad ke-21.
“Tidak sahaja memperoleh ilmu dan maklumat dalam gajet tetapi memanfaatkan juga
media cetak melalui akhbar atau buku ilmiah yang ada,” tambah beliau.
Dalam pada itu,beliau berkata para pendidik dan ibu bapa wajib memainkan peranan penting untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu sama ada pembelajaran secara berterusan di sekolah mahupun di rumah.