Islam adalah agama yang prihatin dan menyayangi anak yatim. Ini terpancar dari qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW apabila Baginda menyantuni anak-anak yatim dengan penuh kasih sayang dan
ihsan.
“Baginda juga yang pernah membesar sebagai anak yatim amat memahami psikologi dan perasaan yang bermain dalam minda anak yatim.
Demikian petikan ucapan YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYPs) Kali Ke-27, di PKAYPs semalam.
Mohd Shukri dalam ucapannya menegaskan kewajipan memberi kasih sayang, menjaga kebajikan, memantau prestasi pendidikan disamping memelihara soal keselamatan anak-anak yatim terutamanya yang berteduh di PKAYPs ini.
“Islam melarang sekiranya kita menjatuhkan maruah atau mengekspoiltasi anak yatim samada diri mahupun harta mereka.
“Segala bantuan dan sumbangan yang diperolehi manfaatkan buat mereka anak-anak yatim ini bukan untuk kepentingan diri kita,” tambahnya.
“Dalam tempoh 27 tahun pertubuhan ini diwujudkan ramai insan cemerlang dan berjaya dapat dilahirkan termasuk juga yang saya dimaklumkan ada sebahagian bekas anak-anak PKAYPs ini menjadi ahli jawatakuasa pertubuhan bagi membalas budi yang telah diterima,” ujarnya.
Diakhir ucapannya, Mohd Shukri turut menyatakan penghargaan kepada seluruh jentera yang memberi kerjasama dalam usaha menjaga anak-anak yatim di PKAYPs terutamanya pihak pertubuhan sendiri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Kerja Raya serta ramai lagi para penyumbang.
“Sesungguhnya komitmen dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan kelak akan menjadi pemberat amalan timbangan kita di akhirat kelak,” katanya.