Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad menyampaikan hasrat agar pihak kerajaan persekutuan mempertimbangkan untuk menaikkan harga padi dan beras bagi mengimbangi harga pasaran serta meringankan beban para petani.
Menurutnya Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat lepas langsung tidak memberi perhatian berkenaan kenaikan harga siling belian padi dari RM1,300 kepada RM1,600.
“Pesawah semakin tertekan dengan penurunan harga belian oleh pengilang dari RM1,800 kepada RM1,400 dan dijangka terus menurun hingga paras siling RM1,300, jadi kenaikan ini sangat penting,” katanya.
Walaupun begitu, beliau mencadangkan agar kenaikan tersebut dikawal bagi memastikan wujud keseimbangan dan kestabilan harga untuk pengguna.
“Peningkatan harga beras perlu untuk mengimbangi harga pasaran semasa, di samping memastikan kestabilan harga bagi pengguna,” tambahnya.
Beliau mencadangkan perkara tersebut semasa Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Exco-Exco Pertanian di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur, pada minggu lalu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan pihak persekutuan memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur pertanian di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kawasan luar MADA bagi mempermudah aktiviti pertanian rakyat Perlis.
“Kemudahan yang lebih baik juga akan dapat meningkatkan pengeluaran (mangga) harum manis dan padi serta memberi manfaat besar kepada sektor pertanian negeri Perlis,” ujarnya.