Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli baru-baru ini menghadiri Program Cakna Kasih Sempena Sambutan Deepavali Kawasan Sena 2024 yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sena.
Program tersebut dilaksanakan oleh ADUN Sena, Datin Marzita Mansor bagi meraikan 120 buah keluarga berbangsa India yang menyambut Hari Deepavali pada tahun ini.
Mohd Shukri mengambil kesempatan menyampaikan ucapan ringkas, beramah mesra dengan masyarakat disamping menyampaikan pek bakul makanan kepada kesemua wakil keluarga yang hadir.
Dalam pada itu, Encik Jega, Ahli Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) bagi kaum India turut menyampaikan ucapan menyatakan terima kasih kepada pihak penganjur yang melaksanakan program meraikan masyarakat India di DUN Sena.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama program seperti ini diadakan bagi meraikan Hari Deepavali.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar kita kerana sudi hadir meraikan kita meskipun dalam kesibukan masa,” tambahnya.
Di akhir program, seluruh masyarakat India yang hadir menikmati jamuan makan yang disediakan.