Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Karnival Minggu Sains Negara 2024 pada 20 dan 21 Oktober bertempat di UiTM Perlis.
Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, penganjuran karnival ini bagi membuka peluang penggerak STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka kepada seluruh rakyat Perlis.
“Karnival ini juga bertujuan untuk mendekatkan golongan sasar terutama pelajar dan belia kepada persekitaran dunia sains dan teknologi serta berpeluang menonjolkan bakat mereka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.”
“Saya juga ingin menyeru kepada guru-guru untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti STI dan terus menyokong pelaksanaan Minggu Sains Negara 2024,” tambah beliau.
Katanya lagi, beliau berharap anak-anak Perlis dapat menggarap sebanyak mungkin peluang dan manfaat yang akan diperoleh melalui inisiatif kerajaan dalam membudayakan STI demi kepentingan generasi akan datang.
Selain itu, pihak Kerajaan Negeri juga katanya akan terus memberi komitmen dalam menjayakan pelaksanaan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics Pertandingan Akhir Kebangsaan 2024 yang akan dilaksanakan di Putrajaya pada November depan.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik diatur sepanjang dua hari karnival ini seperti Pameran STEM oleh jabatan kerajaan dan institusi pendidikan, serta pelbagai pertandingan seperti Robot Sumo, Alat Kawalan Jauh (RC) Jet, Explorace dan STEM Talent Show.