ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun melaksanakan inisiatif Jualan Sejahtera dengan menjual ayam proses segar pada harga RM10 untuk 2 ekor ayam.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Beseri apabila ia mencatat jualan 600 ekor ayam hanya dalam tempoh 5 jam selepas dibuka.
Program yang dilaksanakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Beseri tersebut difahamkan bertujuan membantu mengurangkan beban kos perbelanjaan harian penduduk Beseri.
“Idea untuk mengadakan jualan ini timbul daripada perbincangan mengenai cara-cara meringankan beban kos sara hidup penduduk, terutama dalam situasi ekonomi yang mencabar,” menurut Haziq.
Tambahnya lagi, pihaknya bercadang meneruskan inisiatif tersebut namun masih dalam perbincangan dengan pihak pembekal ayam supaya ia dapat dilaksanakan secara dua minggu sekali.
“InsyaAllah, kita akan usahakan inisiatif ini diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat, sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian mereka,” katanya lagi.
Meskipun ianya terhad untuk penduduk Beseri, setiap penduduk dapat membeli dua ekor ayam pada harga RM10, dan tiada had bagi pembelian secara kilo, bagi memberikan fleksibiliti kepada mereka.