Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli pagi tadi menyantuni sekeluarga mangsa banjir di rumah mereka di Kampung Rambai, Padang Siding.
Beliau hadir bersama sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis yang bertugas mencuci rumah tersebut yang difahamkan menjadi tempat tinggal kepada 2 warga orang kurang upaya (OKU).
Beliau sempat meninjau kerja mencuci tersebut serta meninggalkan hamper berupa pek makanan kepada keluarga mangsa usai menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Kompleks Pentadbiran Negeri Perlis.
Sementara itu, ADUN Tambun Tulang turut tidak lokek memberi kegembiraan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) SK Kubang Gajah.
Beliau bersama pasukan sukarelawan belia dari Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), MPKK Kubang Gajah, MPKK Guar Halban dan MPKK Changkat Lada mengagihkan sumbangan berupa roti, makanan ringan, kopi serta pemanas air.
Beliau juga sempat menziarah mangsa banjir yang sedang menguruskan rumah mereka di Kampung Bakong Alor Mengkuang, Kampung Behor Mempelam, Kampung Alor Banat dan Kampung Banat.
ADUN Mata Ayer, YB Wan Badariah turut mengambil kesempatan menyampaikan sedikit sumbangan berupa kain pelikat dan kain batik serta makanan ringan kepada mangsa banjir di PPS SK Guar Nangka semalam.
Beliau turut menyumbang sedikit makanan berupa beras, air minera, roti serta telur kepada mangsa banjir yang menginap sementara di masjid berhampiran SK Guar Nangka yang menunggu giliran untuk mendapat tempat di PPS tersebut.