Kerajaan Negeri Perlis semalam memeterai memorendum persefahaman (MoU) dengan pihak Dewan Perniagaan, Perindustrian, dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC) bagi mempromosi Perlis sebagai destinasi pelaburan.
Selain itu, MoU tersebut juga bagi menggalakkan pelaburan asing dan memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan China terutamanya Perlis dan Wuxi.
“Melalui MoU ini kita akan merintis satu kerjasama yang signifikan demi mempromosi Perlis sebagai destinasi pelaburan yang menarik, dengan memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu pembuatan hijau, hab halal, kenderaan jimat tenaga, dan tenaga boleh diperbaharui,” ujar Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis dalam majlis tersebut.
“Saya percaya bahawa DPPPM-WC, dengan kepakaran dan pengalaman dalam
bidang perindustrian, dapat menjadi rakan kongsi yang ideal kepada Kerajaan Negeri untuk merealisasikan visi pelaburan negeri,” tambahnya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari peluang dan ruang mempromosi Perlis di platform sama ada di dalam mahupun di luar negara sebagai usaha membawa lebih banyak pelaburan baharu yang berimpak tinggi kepada Perlis.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, sebagai komitmen awal kepada kerajaan negeri, DPPPM-WC akan membawa sekurang-kurangnya satu atau dua pelabur menjelang suku tahun pertama 2025.
Sementara itu, Naib Presiden DPPPM-WC, Dr Yazid Othman berkata, pihaknya melihat pelbagai sektor ekonomi yang berpotensi diterokai di Perlis tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain pelbagai industri dan pihak pelabur dalam dan luar negara.
“Kamu mahu menjadi pemacu kepada sektor-sektor ekonomu tersebut itu, insya-Allah,” katanya.
“Kami datang ke Perlis bersama pelabur yang bersedia meneroka pelbagai sektor ekonomi, melabur serta membangunkan dan memindahkan teknologi tersebut kepada anak tempatan dalam tempoh 5 tahun,” tambahnya.
Beliau turut memperkenalkan syarikat yang dibawanya seperti dalam bidang tenaga solar, pembuatan gula berserat, perusahaan ternakan ayam daging serta perkilangan jentera pertanian.