Kejadian banjir kilat melanda Perlis sejak jam 9.30 malam semalam sehingga hari ini akibat hujan lebat luar biasa yang berlarutan bermula jam 8.00 malam semalam hingga jam 2.00 pagi tadi.
Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia, Khidmat Malaysia termasuk Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) telah bergerak meninjau keadaan rakyat serta memantau pergerakan air banjir tempatan seawal jam 10.00 malam.
Dalam pada itu, agensi seperti Polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam, turut bergerak seluruh Perlis sebagai tindakan berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Sejurus menerima laporan mengenai kejadian banjir pada jam 12.00 tengah malam semalam, ADUN Santan, YB Muhammad Azmir Azizan dilihat terus bergegas menuju ke Kampung Paya meskipun beliau baru sahaja selesai mesyuarat.
Katanya, beliau bersama MPKK DUN Santan turun seawal jam 12.00 tengah malam semalam untuk membantu dan melihat sendiri keadaan mangsa banjir di sekitar kawasan beliau.
“Pelbagai masalah dan luahan yang telah diajukan penduduk yang terkesan dan saya akan berusaha membantu menyelesaikan masalah yang timbul sebaik mungkin,” katanya.
ADUN Sena, YB Marzita Mansor juga turut meninjau keadaan penduduk DUN Sena yang menjadi kawasan paling besar dinaiki air buat masa ini.
Beliau seawal 10.00 malam turun bersama pasukan meninjau dan memberi bantuan kepada masyarakat di beberapa kawasan terjejas seperti di Kampung Baru, Taman Koperasi, Taman Gasing, Taman Utara Jaya, Kampung Repoh, Kampung Repoh Selatan, Kampung Sempering, Kampung Salang, Kampung Padang Behor dan Kampung Tok Kandang.
Sementara di Guar Sanji, ADUN YB Mohd Ridzuan Hashim pula turun sendiri bersama anak muda Guar Sanji meninjau pintu air dan tebing sungai di Titi Besi, Palon dan Jelempok pada jam 1.15 pagi tadi.
Beliau melalui laman Facebook PKWR DUN Guar Sanji memaklumkan bahawa lebih RM1 juta telah dibelanjakan bagi mengatasi kawasan rendah di kawasan kampung tersebut.
Sementara di DUN Beseri, YB Haziq Asyraf juga turun ke Batu Tujuh, Beseri yang turut ditimpa musibah banjir kilat pada jam 12.30 tengah malam semalam.
Dalam pada itu, kerja memantau dan memberi bantuan kepada mangsa banjir diteruskan sehingga petang tadi apabila Pegawai PKWR DUN Mata Ayer, Syahrulnizam turun ke Kampung Gial, Gial Tengah, Gial Selatan dan Kampung Hutan Lembah.
Beliau turut sempat membantu kerja memindahkan seorang warga emas yang tidak mampu berjalan sendiri meredah air untuk dipindahkan ke transit sebelum didaftarkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Kerja-kerja membantu rakyat dalam keadaan musibah banjir terus dilakukan tanpa mengira warna kaum mahupun parti politik.
Hal ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa wakil kerajaan negeri dalam kalangan wakil rakyat dan MPKK tidak turun padang membantu mangsa banjir seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal.
“Dalam keadaan rakyat ditimpa musibah banjir ini sebaiknya kita fokus memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya sibuk bermain politik kotor,” ujar Mustaqim Abdullah Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perlis.