“Walau apa pun program yang dianjurkan, apa yang saya harapkan adalah penerapan mentaliti ‘zero’ sampah dapat diterapkan dan tersemat dalam pemikiran setiap rakyat Negeri Perlis.
“Mudah-mudahan selepas ini walau tanpa adanya program kebersihan, Negeri Perlis akan sentiasa bersih dan indah sepanjang masa,” ujar YAB Menteri Besar Perlis.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Negeri Perlis yang dianjurkan sempena Hari Cuci Malaysia 2024, di Perkarangan Masjid As-Shahrani, Taman Desa Kayang, Behor Lateh pada Sabtu lepas.
Program mega yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan turut disambut di peringkat negeri melibatkan 13 lokasi meliputi ketiga-tiga kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar.
Lokasi yang terlibat ialah Kampung Alor Marus, Kampung Dato, Kampung Binjai, Kampung Guar Jentik, Kampung Guar Nangka, Kampung Rambai, Batu Bertangkup, Jalan Bukit Lagi, Jalan Sungai Baru serta Balai Bomba dan Penyelamat di Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis.
Program dijalankan secara gotong-royong melibatkan penjawat awam dari pelbagai jabatan dan agensi negeri seperti Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, SWCorp serta masyarakat setempat.
“Kita sebagai Muslim sangat ditekankan berkaitan menjaga kebersihan khususnya dalam menguruskan kehidupan seharian, bahkah ia menjadi tuntutan dalam agama,” ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Perlis menyertai program ini bagi menjayakan pelan serta dasar kebersihan negeri yang meliputi Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, Penubuhan Jawatankuasa Khas Program Perlis Bersih Indah dan Penubuhan Jawatankuasa Task Force “Perlis Menawan”.