EXCO Wanita bagi 4 kerajaan negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu bersetuju supaya perlu diwujudkan satu kluster dalam kerjasama State Government 4 (SG4) iaitu kluster berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat serta kebajikan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh EXCO Wanita Perlis, Wan Badariah Wan Saad usai pertemuan bersama tiga lagi rakan sejawat beliau dari SG4 yang diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, baru-baru ini.
“Pertemuan ini kita laksanakan rentetan daripada Konvensyen SG4 di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini apabila kita dapati banyak perkara yang kita boleh kongsikan bersama seperti Dasar Wanita yang telah wujud di Kelantan dan Terengganu.
“Kita juga berbincang mengenai program yang sesuai untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing bagi memperkasa peranan wanita dalam kepimpinan dan pembangunan wanita,” ujar beliau.
Perbincangan tersebut dihadiri oleh EXCO Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim, EXCO EXCO Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Saadiah Saad.
Selain itu, deligasi Terengganu turut disertai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim serta timbalannya, Zuraida Md Noor.