“Karnival Kepelbagaian Etnik dan Warisan Kita ini dapat menonjolkan keunikan kepelbagaian etnik yang ada di Perlis,” ujar Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika merasmikan karnival tersebut di Kompleks C-Mart, Arau, semalam.
Katanya lagi, Perlis tidak kurang uniknya meskipun mempunyai jumlah penduduk paling sedikit di Malaysia, tetapi diwarnai pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta Kaum Siam.
“Kita mempunyai Kaum Siam yang bilangan penduduknya sekitar 8,000 orang di negeri Perlis yang turut terlibat dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk bidang pertanian.
“Kepelbagaian ini menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya, di mana perpaduan antara kaum diutamakan untuk mencapai keharmonian sosial,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Persatuan Siam Malaysia dibawah kepimpinan Tuan Sam Maark Suvanphet yang membawa program ini ke Negeri Perlis.
“Saya mengalu-alukan Persatuan Siam
Malaysia, mai ke Perlis lagi untuk menganjurkan program yang
menarik seperti hari ini,” katanya.
Karnival tersebut dianjurkan sempena Kembara Perpaduan oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia bermula 20 September hingga 21 September 2024.
Program ini turut menampilkan makanan tradisional, pakaian dan tarian tradisional serta pameran seni pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.