“Penduduk yang dinasihat untuk pindah kena ikut arahan sebab pertamanya dibimbangi bahaya akibat daripada litar pintas.
Demikian ujar Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Titi Besi, Arau, petang tadi.
Dalam pada itu, katanya mangsa perlu berpindah kerana terdedah dengan ancaman haiwan berbisa seperi ular dan sebagainya.
“Kita minta rakyat akur dengan arahan pihak berkuasa, air meningkat pada waktu malam akan menyukarkan kerja pemindahan mangsa,” katanya.
Sebelum itu, beliau turut berkesempatan meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Arau yang menempatkan lapan keluarga terdiri daripada 33 individu termasuk seorang bayi berusia 22 hari.
Tambah beliau, kejadian banjir yang melanda Perlis berikutan hujan lebat berterusan ini dilihat lebih teruk berbanding tahun lepas.
“Rakyat perlu dalam keadaan bersiap sedia kerana ramalan kaji cuaca menjangkakan hujan dan angin kencang akan berterusan hingga Sabtu,” ujarnya lagi.