Great British Circus (GBS) yang bakal mengadakan persembahan julung kali di Perlis dikatakan bakal mengikuti segala peraturan dan ketetapan oleh Majlis Perbandaran Kangar.
“Persembahan sarkas ini adalah persembahan yang ‘mesra keluarga’. ‘No bikinis, no shorts’,” ujar EXCO Pelancongan, Wan Badarian Wan Saad semasa sidang media Great British Circus di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, baru-baru ini.
“Dengan penganjuran ini, kita harapkan dapat menarik pengunjung dari Kedah, Pulau Pinang dan kawasan Selatan Thailand untuk sama-sama merasai pengalaman menyaksikan persembahan sarkas ini.
“Ia merupakan salah satu program terbesar sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025,” katanya lagi.
Katanya lagi, GBS telah mempunyai pengalaman 10 tahun mengadakan persembahan di Malaysia termasuk di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan ini kali pertama ia akan dibuat di Perlis.
Dalam pada itu, Pengasas Big Kid Entertainment (M) Sdn Bhd, Kiril Kirilov berkata persembahan sarkas ini adalah persembahan hiburan keluarga yang penuh dengan komedi, lagak ngeri, akrobatik dan banyak lagi.
“Kita bersedia untuk menurut sebarang peraturan dan ketetapan daripada pihak kerajaan,” kata beliau.
Tambah beliau, persembahan sarkis itu akan dilakukan oleh artis-artis antarabangsa dari lebih 10 buah negara malah penganjurannya juga tidak melibatkan sebarang haiwan.
Persembahan akan diadakan di Dataran Kangar Jaya setiap hari bermula 28 September 2024 hingga 20 Oktober 2024 dan orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian di www.greatbritishcircus.com.