Perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita mengekalkan perpaduan wajar disanjungi, agar semangat ini diteruskan dan diwarisi kepada generasi akan datang.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata keunikan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, tradisi dan agama perlu dipelihara dan dihormati sesama kita.
“Kepelbagaian ini adalah sumber kekuatan dan asas identiti kebangsaan kita,” kata beliau dalam ucapannya dalam Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis 2024 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.
Berangkat hadir ke majlis tersebut Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Sambutan Hari Kebangsaan tersebut disambut meriah dengan kehadiran 45,000 rakyat perlis yang datang dari seluruh pelusuk negeri bagi menyaksikan perarakan dan persembahan yang mengagumkan.
Dalam pada itu, Persembahan Pantomin “Bukit Kepong” oleh PDRM Kontinjen Perlis turut mengimbau perjuangan pihak polis menentang serangan komunis yang berlaku semasa darurat pada tahun 1950.