Kehadiran 45,000 pengunjung, Pian dan Rambai, 2,600 peserta perarakan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Perlis benar-benar menjadi fenomena dan meninggalkan memori indah buat rakyat Perlis.
Ia mengundang komen positif dari netizen seperti kemeriahan pengunjung yang memenuhi ruang dalam dan luar Stadium Tuanku Syed Putra termasuk kehadiran awal mereka demi meraikan keinginan anak-anak untuk melihat gajah yang diberi nama Pian dan Rambai semasa perarakan.
Pian dan Rambai yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Lanchang, Pahang mencipta keunikan sendiri apabila diarak bersama peserta perbarisan yang lain.
Perarakan gajah tersebut didahului dengan Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin yang menempa nama semasa SUKMA ke-21 Sarawak dengan merangkul pingat emas acara angkat berat selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali berturut-turut.
Majlis bermula dengan perarakan pada pukul 8 malam menampilkan 66 kontijen yang melibatkan 2,600 peserta dari jabatan kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun, pasukan beruniform, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai persatuan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis sambutan yang cukup meriah itu.
Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; barisan Exco kerajaan negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di negeri ini.