Lebih 250 orang peserta terdiri daripada penduduk tempatan, agensi dan jabatan kerajaan, Persatuan Vateran Angkatan Tentera Malaysia, anak-anak pelajar Maahad Tahfiz Muqarrabin serta anak-anak PASTI dalam DUN Beseri mengambil bahagian dalam Perarakaan Kemerdekaan DUN Beseri yang diadakan pada 24 Ogos lalu.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Beseri itu disambut meriah dengan kehadiran pelbagai agensi yang membuat pameran seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Tabung Ekonimi Usahawan Niaga (TEKUN) dan Jabatan Pertanian.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan daripada Rejimen 504 Askar Wataniah dari Kem Bukit Keteri turut hadir membuat pameran survival hutan yang menarik minat orang ramai.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Tuan Rus’sele Eizan yang hadir merasmikan program serta menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat disamping menyeru seluruh rakyat Perlis hadir ke Stadium Tuanku Syed Putra bagi Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis pada 30 Ogos ini.
