Dr. Ir. Ts. Hj Mohmad Asari Daud, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Perlis (SAP) dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) semasa Perhimpunan Agung persatuan tersebut di Toronto, Kanada pada Sabtu.
Pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan dan pencapaian yang boleh dibanggakan serta sejajar dengan pemilihan Kuching, Sarawak sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia yang dijadualkan berlangsung pada 2028.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) telah memainkan peranan penting ketika Perlis menghadapi masalah peningkatan air tidak terhasil (NRW) sehingga 62 peratus pada tahun lalu.
Syarikat Air Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis akhirnya berjaya menurunkan peratus NRW sehingga 60.73 peratus sehingga Jun 2024 kesan tindakan agresif SAP melalui program ‘We Care’.
Dalam pada itu, Naib Presiden MWA, Adam Saffian Ghazali berkata pihak persatuan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohmad Asari Daud atas pemilihan sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.
Menurut sumber, Mohamad Asari akan memegang jawatan tersebut sehingga Mesyuarat Agung IWA pada 2026 di Glasgow, Scotland.