Enam agensi tempatan telah mengambil bahagian dalam program “Bonding Sport: People To People Connectivity” yang diadakan pada 9 Ogos 2024 di Sadao Municipal Central Stadium .
Program dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan antara agensi-agensi yang bertugas di Pintu Sempadan Malaysia-Thailand.
Antara agensi yang terlibat dalam program ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Imigresen Malaysia.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah perlawanan bola sepak, sepak takraw, dan bola tampar wanita. Kesemua aktiviti sukan ini disambut dengan penuh semangat dan keakraban, di mana setiap agensi menunjukkan kesungguhan dan semangat juang yang tinggi.
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan persembahan kebudayaan yang menyaksikan pelbagai tarian tradisional dan persembahan seni budaya dari kedua-dua negara. Persembahan ini menjadi platform untuk mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perlis.
Delegasi Malaysia dalam program ini telah diketuai oleh Izizam Ibrahim, EXCO Hubungan & Kerjasama Sempadan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program seumpama ini dalam menjalin hubungan yang lebih erat antara agensi sempadan kedua-dua negara.
Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024/2025, dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan dan ekonomi negeri Perlis.