Kadar air tidak terhasil (NRW) di Perlis mula menunjukkan impak positif apabila berjaya diturunkan sehingga 1.73 peratus sejak 2022 hingga Jun 2024.
Menurut EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Izizam Ibrahim, kadar NRW sehingga Jun tahun ini turun kepada 60.73 peratus dari 62.48 peratus pada tahun lepas dan 61.5 peratus pada 2022.
Katanya, ia merupakan kesan secala langsung daripada program ‘We Care’ yang menyaksikan Syarikat Air Perlis (SAP) bertindak agresif membaiki kebocoran paip air sebaik sahaja ia dikesan ataupun selepas menerima aduan dari orang ramai.
“Seperti sedia maklum untuk menurunkan kadar NRW lebih drastik, peruntukan yang besar adalah diperlukan bagi tujuan tersebut,” katanya lagi.
Permasalahan itu adalah berikutan hampir keseluruhan paip di seluruh negeri ini telah uzur dan perlu diganti segera bagi mengelakkan masalah kebocoran terus berulang.
“Diharap dengan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan ini dapat membantu menurunkan kadar NRW di Perlis di samping memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.