Rakyat Negeri Perlis diseru mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis kediaman dan pejabat bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda kecintaan kepada tanah air.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata rakyat Perlis perlu menyemai kecintaan kepada tanah air bukan hanya dalam Bulan Kebangsaan sahaja sebaliknya ia perlu disemat di dalam hati anak Malaysia sepanjang masa.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis 2024, beliau berkata majlis itu diadakan bagi memupuk semangat kenegaraan disamping menyeru rakyat Perlis mengibarkan Jalur Gemilang.
“Saya juga mengharapkan semua rakyat Perlis dapat memeriahkan sambutan kali ini
dengan menyertai semua program dan aktiviti yang telah dirancang,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, beliau mengumumkan beberapa acara bakal dilangsungkan sepanjang bulan Ogos di peringkat negeri seperti kayuhan dan larian patriotik serta acara kemuncak iaitu Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis pada malam menjelang tanggal 31 Ogos 2024 nanti.
Majlis tersebut diakhiri dengan pelepasan konvoi kenderaan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang disertai pelbagai kaum serta peringkat umur dan akan mengelilingi seluruh pelosok Negeri Perlis dalam menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.