Buat julung kalinya, Majlis Sukan Negeri Perlis menganjurkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Perlis ke Temasya Sukma Sarawak 2024 di Stadium Tuanku Syed Putra, baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, majlis tersebut diadakan penuh gilang-gemilang bagi membakar semangat dan motivasi kepada atlet.
“Beri motivasi kepada atlet, beri motivasi kepada penyokong, rakyat Perlis untuk beri sokongan dan mengembalikan kemeriahan sukan di Perlis ini,” katanya.
Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan seperti persembahan sketsa, persembahan wushu, persembahan silat dan persembahan daripada anak-anak cilik.
Dalam pada itu, Chef de Mission Kontinjen Perlis ke SUKMA 2024, Wan Zikri Afthar berkata Kerajaan Negeri Perlis telah meletakkan sasaran 10 pingat emas dalam temasya kali ini.
“Ia merupakan sasaran yang realistik dan mampu dicapai. Tapi secara peribadi, melihat sendiri kesungguhan atlet-atlet semasa latihan, saya yakin kita mampu capai lebih daripada sasaran.
Perlis pernah mencatat kejayaan terbaik dalam sukma 2014 semasa menjadi tuan rumah dengan merangkul 12 pingat emas, 10 pingat perak dan 30 pingat gangsa.
“Setelah satu dekad, saya berkeyakinan tinggi kontinjen SUKMA Perlis 2024 mampu memecah rekod terbaik emas ini,” kata Wan Zikri Afthar dalam ucapannya.
Majlis diserikan dengan kesudian Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat hadir ke majlis tersebut.