Northen Lion Basketball Club (NLBC) berjaya menumpaskan Pasukan Tuan Ying BOMBA Sukarelawan Tunjang dalam perlawanan akhir 2024 Kedah-Perlis Hong Yuan Cup bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Dato’ Yeoh Choo Hock, Taman Kemajuan, Kangar baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang meluangkan masa menonton perlawanan tersebut, turut berbesar hati merasmikan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri berkata pertandingan seperti ini sewajarnya menjadi tempat mencungkil bakat pemain bola keranjang di Negeri Perlis.
“Saya harap kejohanan seperti ini akan menjadi tempat kita berjumpa dan mengasah bakat pemain untuk kita pastikan Perlis dapat menempa nama dalam sukan bola keranjang di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.
Selain itu, penganjur, pemain serta penonton yang berbangsa Cina kebanyakannya menyatakan keterujaan apabila kejohanan kali ini buat kali pertama dihadiri oleh Menteri Besar.
“Pertama kali MB Perlis mai ‘tournament’ kami. Seronok woo. Nanti kalau ada ‘tournament’ lagi kami mahu jemput MB lagi,” kata salah seorang urusetia pertandingan.
Turut hadir dalam pertandingan tersebut ialah EXCO Kerajaan Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan serta ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan ADUN Sena, Datin Marzita Mansor.