EXCO Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Muhammad Azmir Azizan baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Negeri Johor bagi memperkukuh kerjasama antara institusi agama di Negeri Perlis dan Johor.
Menurutnya, lawatan tersebut bagi memperkemas usaha memperkasa Mahkamah Syariah disamping bertukar pandangan dalam usaha membela nasib asnaf.
“Lawatan ini secara tidak langsung memberikan banyak manfaat dan membuka ruang untuk lebih banyak kerjasama di masa hadapan antara Negeri Perlis dan Johor,” katanya.
Beliau mengetuai delegasi yang terdiri daripada Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Md Noor, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, Najmuddin Abdul Karim dan Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noor Hamizi Mohd Yaacob.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keterujaan apabila delegasi dibawa melawat galeri arkib yang menghimpunkan sejarah awal penubuhan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Delegasi atas titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail, turut berkunjung ke Yayasan Warisan Johor di mana dibawa melawat Pameran Lentera dan Seroja yang mempamerkan koleksi karya lukisan wanita dan Galeri Tenun Johor.

