Hampir 2000 penyokong dilaporkan hadir menyokong pasukan Guar Syed Alwi (GSA) FC menentang Kuala Muda FA (KMFA) di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Jumaat lepas.
GSA FC yang diberi penghormatan menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan Liga A2 Amateur al-Ikhsan Cup memulakan siangan mereka dengan langkah kanan apabila menumpaskan Kuala Muda FA dengan keputusan 4-2.
Meskipun dikejutkan dengan jaringan gol pembukaan dari pihak lawan seawal minit ke-6 perlawanan, pasukan GSA FC dilihat tidak membuang masa untuk membalas jaringan.
Kesemua empat gol GSA FC dihasilkan oleh Nashrul Shazrin pada minit ke-12 dan minit ke-90, Haziq Muiz pada minit ke-21 serta Arif Nadzman pada minit ke-29.
Mengulas mengenai prestasi anak buahnya, Coach Amar Rohidan berkata mereka masih banyak aspek yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi kecergasan.
Beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memenuhi stadium pada perlawanan tersebut.
“Kita harap next game di sini lebih ramai orang yang hadir menyokong pasukan kami,” katanya.
Turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut ialah YB Azmir Azizan dan YB Izizam Ibrahim selaku EXCO Kerajaan Negeri Perlis serta YB Haziq Asyraf, ADUN Beseri.