Deligasi EXCO Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail mengadakan sesi kunjung hormat ke Pejabat EXCO Pertanian Perlis, YB Razali Saad di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar, di sini hari ini.
Menurut Razali, dalam kunjung hormat tersebut turut diadakan pertemuan bersama agensi-agensi di bawah portfolio masing-masing bagi membincangkan isu semasa berkaitan hasil negeri dalam sektor pertanian.
“Antara perkara yang dibangkitkan oleh pihak mereka ialah tentang kerjasama Perlis dalam penanaman buah harumanis supaya hasil mereka dapat setanding dengan Perlis,” ujar beliau.
Tambah beliau, Perlis sedia berkongsi ilmu dan pengalaman berkenaan penghasilan buah harumanis yang telah menjadi ikon bagi negeri ini disamping berkongsi teknologi yang digunakan di negeri Perlis.
Dalam pada itu, menurut beliau pihak Kerajaan Negeri Kelantan mengakui bahawa mereka menggunakan dolomite untuk tanaman mereka.
“Mereka berharap dapat membeli dolomite secara terus daripada Kerajaan Negeri Perlis.
“Usahasama sebegini rupa kita harap supaya dapat meningkatkan hasil ekonomi negeri,” tambah beliau.
Katanya lagi, beliau juga turut mengambil kesempatan untuk mendapatkan tunjuk ajar dari Kerajaan Negeri Kelantan berhubung cara pengendalian ayam penelur dan ayam pedaging serta daging lembu yang lebih murah.
“Kita minta tunjuk ajar Kelantan supaya dapat ayam penelur, ayam pedaging serta daging lembu yang lebih murah bagi memberi keterjaminan makanan kepada rakyat Perlis.