Asrul Aimran Abd Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan semua pihak perlu menunjukkan sokongan yang padu kepada Kerajaan Negeri Kedah berhubung keputusan mahkamah membatalkan keputusan pengharaman premis judi.
“Kita berharap pihak Kerajaan Negeri Kedah akan terus konsisten dengan keputusan yang telah diambil dan tidak akan tunduk kepada tekanan daripada pihak berkepentingan.
Beliau berkata demikian mewakili Kerajaan Negeri Perlis yang turut melaksanakan dasar yang sama dan telah mencapai sifar premis judi bermula 6 Mac lalu.
Tambah beliau, perkara ini perlu disambut oleh seluruh umat Islam di negara ini kerana ia menunjukkan imej Islam yang mengutamakan keharmonian rumah tangga dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila kita dapat membanteras judi ini, sedikit sebanyak akan turun keberkatan daripada Allah S.W.T dan akan diberikan limpah rahmat yang lebih besar kepada kita insya-Allah,” ujar beliau.
Kerajaan Negeri Kedah dilaporkan telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.