“Sebenarnya kalau kita lihat Negeri Perlis ini potensinya besar walaupun kita negeri kecil,” ujar Dato’ Che Murad Sayang Ramjan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis yang baharu dilantik berkuatkuasa 3 Julai 2024.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pertama beliau bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis baru-baru ini.
“Banyak yang kita boleh teroka dan sama-sama bangunkan lagi sektor pelancongan di negeri kita ini.
Kata beliau, sebagai penjawat awam, beliau bertekad untuk sama-sama membangunkan Negeri Perlis disamping menggunakan pengalaman dan hubungan terutama semasa beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKW).
“Saya daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, banyak agensi-agensi yang berada di bawah KKW seperti MARA, Felcra dan lain-lain yang boleh kita bekerjasama untuk bangunkan Perlis,” ujar beliau.
Mengulas mengenai pertukaran tiga Setiausaha Kerajaan Negeri dalam tempoh setahun, Mohd. Shukri berkata, proses itu adalah disebabkan oleh kenaikan pangkat dan kerajaan negeri tidak mahu menghalang.
“Kalau melibatkan pertukaran mungkin kita boleh usaha kekalkan mereka di sini, tapi apabila membabitkan kenaikan pangkat maka saya punya polisi adalah kita tidak akan halang masa depan seseorang,” katanya.