Peraturan mengenai pemakaian seluar ‘tight’ dilonggarkan bagi penganjuran Liga Super Perlis 2024 berbanding peraturan sebenar yang mewajibkan pemain memakai seluar ‘tight’ yang sama warna dengan seluar pendek.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam ucapan beliau semasa Pelancaran Liga Super Perlis 2024, di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, di sini, semalam.
“Kalau ikut peraturan sebenar seluar fit kena sama warna dengan seluar pendek, tetapi bagi Liga Super Perlis kita longgarkan untuk boleh pakai seluar berwarna hitam walaupun tidak sama warna dengan seluar pendek,” kata beliau.
Katanya lagi, apa yang lebih penting adalah tuntutan agama untuk kita tutup aurat telah dipermudahkan.
Dalam pada itu, beliau menuntut pihak penganjur menyediakan keperluan tempat solat sebelum perlawanan dimulakan.
“Saya juga menuntut untuk pihak pengelola dan urus setia membantu bagi menyediakan
tempat solat berupakan alas atau kain terpan untuk kita sama-sama boleh bersolat jamaah sebelum sepak bola.
“Ianya bertepatan dengan “Kempen Hayya Ala Solah” yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan Insya-Allah, tuan-tuan semua akan berjaya dalam bidang sukan bola sepak ini.
Tambah beliau, pasukan Guar Syed Alwi FC yang menjadi juara liga musim 2022 merupakan pasukan berdisiplin, melaksanakan solat jemaah di padang sebelum sepak mula.
“Tahniah anak-anak muda Perlis, anda telah tinggalkan satu kesan yang baik kepada yang lain bahawa sukan tidak melalaikan kita.