Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli melaksanakan ibadah korban sempena Aidil Adha 1445 H tahun ini bersama 350 anggota tentera di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, baru-baru ini.
“Alhamdulillah 2 ekor lembu dan seekor kerbau telah disumbangkan melalui MP Padang Besar, MP Arau dan saya sendiri telah selamat disembelih, dilapah serta diagihkan kepada semua yang hadir hari ini,” ujarnya dalam jamuan makan tengah hari selepas program tersebut.
Beliau turut meluahkan rasa syukur atas pengalaman berharga bersama wira negara yang berkorban demi kedaulatan tanah air tercinta.
“Syukur Alhamdulillah, menjadi satu kebanggaan buat diri saya atas pengalaman yang berharga dapat bersama perwira-perwira negara yang tanpa pernah mengenal putus asa dalam mempertahankan kedaulatan Negara Malaysia.
Beliau hadir menyempurnakan sembelihan lembu sumbangannya disaksikan oleh EXCO Hal-Ehwal Agama, Muhammad Azmir Azizan serta DCP Dato’ Muhammad Abd Halim, Ketua Polis Perlis, Panglima 30 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim; Ketua Staf Markas 30 Briged, Leftenan Kolonel Shahril Shaarani dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Lajaei
Turut hadir dalam majlis tersebut wakil dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Padang Besar, Muhammad Syafiq Shukor dan wakil PKWR Dun Mata Ayer, Syahrulnizam Sani.